Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memansuhkan
pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah dan digantikan dengan Dasar
Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Malaysia dan Bahasa Inggeris diperkukuh menerusi pendekatan yang lebih
berkesan. Dengan pemansuhan dasar PPSMI, sekolah kebangsaan dan sekolah
menengah hendaklah menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar
dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala di
SJK(C) dan SJK(T) menggunakan bahasa pengantar masing-masing.
Pada 5 Ogos 2009, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan supaya
dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun
2010. Dalam proses peralihan ini, sekolah boleh menggunakan Bahasa
Inggeris dan/atau bahasa pengantar masing-masing dalam pengajaran dan
pembelajaran Sains dan Matematik. Ini bertujuan membantu guru dan murid
menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan.
Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik semasa peralihan dasar PPSMI ke MBMMBI mulai tahun 2010.
[Sumber : SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 2 / 2010 bertarikh 14
Januari 2010 : PELAKSANAAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN
MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)]